KUALA LUMPUR, 7 Dis — Setelah sekian lama dibelenggu kemiskinan, pesawah berharap sinar akan menjelma dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menggesa Padiberas Nasional Bhd (Bernas) untuk berkongsi keuntungan dengan pesawah miskin di negara ini.

Mereka menyifatkan tindakan Perdana Menteri itu sebagai kesungguhan kerajaan membantu pesawah yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Bernas telah bersetuju menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada kira-kira 150,000 pesawah miskin di seluruh negara pada bulan ini dan RM50 juta disalurkan tahun depan.

Di PERLIS, rata-rata pesawah menzahirkan rasa syukur dengan pengumuman tersebut dan berharap ia dapat membantu mengurangkan masalah kemiskinan mereka.

Razali Salam, 70, dari Kampung Surau, Kangar, berkata setelah sekian lama dihimpit kemiskinan, beliau berharap langkah awal kerajaan itu dapat mengubah nasibnya dan petani di seluruh negara dengan berkongsi kekayaan negara secara adil.

“Ramai yang beranggapan bahawa ‘buat bendang’ (tanam padi) boleh jadi kaya raya, tapi hakikatnya yang kaya adalah ‘tauke’ bukannya kami pesawah,” katanya yang mula membuat kerja bendang sejak umur 18 tahun.

Ismail Saidin, 55, berkata walaupun sedar dengan keadaan ekonomi global yang tidak menentu hari ini, beliau berharap kerajaan dapat mempertimbangkan bantuan kepada pesawah dan penoreh getah yang hidup susah sejak dahulu dengan memperkenalkan bantuan sara hidup setiap bulan. 

“Kami sudah lama hidup susah, apa salahnya jika kerajaan perkenalkan bantuan sara hidup RM200 sebulan bagi mengurangkan beban kos hidup,” kata bapa kepada empat orang anak itu.

Di KEDAH, pesawah di Kampung Putat, Jitra, dekat Kubang Pasu, menyambut baik berita gembira itu dalam usaha kerajaan menyelesaikan isu kemiskinan dan berharap kerajaan dapat menyalurkan peruntukan itu dengan menyediakan pelbagai kemudahan kepada mereka.

Mohd Hakim Mohd Saad, 53, berkata ini kerana mereka berhadapan situasi kadar pemotongan pemutuan padi yang tinggi iaitu melebihi 20 peratus.

Pesawah, yang mempunyai pengalaman 30 tahun itu, berkata kerajaan baharu perlu membantu pesawah menangani isu kadar pemotongan pemutuan padi kerana ia menjejaskan pendapatan pesawah memandangkan modal termasuk untuk kos bahan input sekarang meningkat. 

“Kami, pesawah ini pun dah memerlukan modal yang besar, apabila kos bahan input termasuk racun serangga perosak pun dah mahal, lepas itu kadar pemotongan (pemutuan) padi pun dah tinggi yang mana kena potong mencecah lebih 20 peratus dan kena potong hingga 60 peratus pun ada bagi setiap satu tan (1,000 kg) padi,” katanya.

Berkongsi pendapat sama, Muhamad Hazril Hanafiah, 40, pula berkata jika pesawah menerima peruntukan bantuan itu serta harga padi dinaikkan sekali pun tetapi kadar pemotongan pemutuan padi masih tinggi ia tetap tidak memberikan sebarang manfaat kepada golongan itu.

Seorang lagi pesawah, Abdul Ghani Md Zain, 48, mengharapkan peruntukan bantuan itu benar-benar sampai kepada pesawah bagi membantu meringankan beban mereka menghadapi peningkatan kos bahan input pada masa ini.

Zurin Jamaludin, 47, pula berkata beliau menyambut baik pengumuman bantuan itu kepada pesawah namun mengharapkan kerajaan dapat memberikan tumpuan terhadap masalah pesawah termasuk isu menambah baik kualiti sistem perparitan di kawasan sawah.

“Saya mengharapkan ada kerja-kerja membersihkan sungai dan perparitan di kawasan sawah kami oleh pihak berkaitan, yang mana harap dikembalikan semula kepada empat kali setahun berbanding sekarang hanya dua kali setahun…ini untuk mengelakkan daripada berlakunya banjir kilat di kawasan sawah kami,” katanya.

Di SELANGOR, pesawah di Kampung Sawah Sempadan di Tanjong Karang, Fairuzzaini Mohd Toif, 38, yang gembira dengan bantuan itu  juga mengharapkan peruntukan RM10 juta disalurkan dalam bentuk subsidi khususnya bagi pembelian barangan input antaranya baja dan racun serangga yang kini semakin mahal.

“Sebagai contoh harga baja bagi satu lot sawah padi sekitar RM100 tahun lalu. Tapi kini ia meningkat sekitar sekali ganda setiap kali musim penanaman baharu dan perkara ini meresahkan pesawah khususnya kerana perlu mengeluarkan modal yang lebih,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here