SINGAPURA, 13 Dis — Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu (14 Dis) di Brussels, Belgium.

“Sidang Kemuncak ASEAN-EU ini adalah yang pertama melibatkan pemimpin ASEAN dan EU,” menurut Pejabat Perdana Menteri republik itu dalam laman sesawangnya.

Pejabat itu berkata Sidang Kemuncak Peringatan yang menandakan 45 tahun hubungan dialog ASEAN-EU, membuka peluang untuk kedua-dua pihak membincangkan cara untuk memperkukuh lagi hubungan ASEAN-EU.

Di Brussels, Lee akan diiringi oleh Puan Lee, Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Semasa ketiadaan Lee, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong  akan menjadi Pemangku Perdana Menteri dari 12 hingga 16 Dis 2022.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen yang juga Pengerusi ASEAN 2022 dan presiden Majlis Eropah Charles Michel akan mempengerusikan bersama sidang kemuncak itu.

Presiden Indonesia Joko Widodo dan delegasinya juga akan menghadiri sidang kemuncak itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here