KUALA LUMPUR, 16 Dis — Seramai tujuh mangsa insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali yang berlaku awal pagi ini, kini menerima rawatan di tiga hospital iaitu Selayang, Kuala Lumpur dan Kuala Kubu Bharu.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata tiga mangsa menerima rawatan di zon merah Hospital Selayang termasuk seorang wanita hamil, tiga di Hospital Kuala Kubu Bharu dan seorang di Hospital Kuala Lumpur kerana mengalami kecederaan tulang belakang. 

“Ada mangsa mengalami cedera di muka dan berada di Jabatan Kecemasan kerana memerlukan pemerhatian, ” katanya pada sidang media di Hospital Selayang di sini, hari ini. 

Katanya pihaknya menerima panggilan berhubung bencana itu pada 2.29 pagi dan telah menghantar seorang pakar perubatan serta dua pembantu selain mengaktifkan koordinasi hospital berhampiran untuk memberi bantuan di lokasi kejadian.

Beliau terdahulu mendengar taklimat daripada pihak pengurusan Hospital Selayang mengenai mangsa kejadian tanah runtuh itu.

Difahamkan tiga mangsa yang menerima rawatan di Hospital Selayang berusia lingkungan 13 hingga 41 tahun. 

Setakat ini, angka kematian kejadian tersebut adalah 11 orang manakala 23 orang lagi masih hilang dan seramai 53 mangsa telah dibawa keluar dari kawasan kejadian.

Maklumat awal polis menyatakan kira-kira 100 orang dikhuatiri terperangkap selepas tapak perkhemahan mereka terlibat dengan kejadian runtuhan tanah yang dianggarkan setinggi 30 meter, awal pagi tadi.

Ketika ini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dilakukan pasukan penyelamat antaranya melibatkan Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Sentosa, Ampang, Pandan, Kota Anggerik, Kajang dan Andalas serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here