PUTRAJAYA, 27 Dis — Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) sedang meneliti isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL) daripada Telekom Malaysia (TM) oleh syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd. 

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama penuh sekiranya pihak berkuasa melakukan sebarang siasatan berhubung perkara itu.

Sehubungan itu beliau akan menerima satu taklimat menyeluruh mengenai isu tersebut daripada pihak TM pada 3 Januari, 2023.

Beliau juga telah menerima taklimat terperinci berkaitan konsesi pengurusan Menara KL daripada KKD pada 14 Disember lepas.

“Saya difahamkan bahawa konsesi pengurusan Menara KL kini dalam tempoh interim ketiga sehingga 31 Disember, 2022 oleh Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB).

“KKD memantau rapat isu berkenaan dan bersedia untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya siasatan dilakukan berhubung isu ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata beliau memandang serius isu yang dibangkitkan di media sosial serta pertanyaan berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada TM melalui anak syarikatnya MKLSB kepada syarikat Hydroshoppe.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here