ALOR SETAR, 5 Jan — Perikatan Nasional (PN) Kedah yakin mampu memenangi 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata keyakinan itu berdasarkan prestasi dan keputusan diperoleh PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas.

“Gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah berlaku di peringkat Persekutuan dan saya jangka di peringkat negeri nanti pun sama.

“Kalau tengok angka di Kedah, undi PH campur BN sekali pun, PN boleh menang lagi,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Menteri Besar Kedah kepada penjawat awam negeri, di sini hari ini.

Parlimen dibubarkan pada 10 Okt tahun lepas bagi memberi laluan PRU15 diadakan.

Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pilihan raya peringkat DUN bersekali dengan Parlimen berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

Negeri diterajui PH iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri diteraju PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah memutuskan tidak membubarkan DUN.

Kedah mempunyai keseluruhan 36 DUN dan mandat kerajaan negeri hanya akan berakhir pada Julai ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here