PUTRAJAYA, 10 Jan — Kerajaan bersetuju melaksanakan semula Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan mewujudkan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing sebagai langkah memenuhi keperluan tenaga kerja asing.

Kedua-dua perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Pengurusan Pekerja Asing dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Pelan Rekalibrasi Tenaga Kerja yang tamat 31 Dis lepas akan diteruskan selama setahun, berkuat kuasa serta-merta.

“Program ini dilanjutkan kerana ia mampu menyediakan peluang tenaga kerja asing yang sedia ada di dalam negara ini.

“Kita kenakan kompaun untuk warga asing yang menyertai program rekalibrasi ini. Tahun lepas, kita dapat lebih RM700 juta hasil menerusi program ini,” katanya dalam sidang media bersama-sama Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar selepas mesyuarat khas itu.

Menerusi pelaksanaan program Rekalibrasi Tenaga Kerja itu, beliau berkata sektor pekerjaan di negara ini, khususnya melibatkan sektor 3D iaitu kotor (dirty), bahaya (dangerous) dan sukar (difficult), akan terisi.

Program Rekalibrasi Tenaga Kerja diwujudkan sebelum ini bagi menjadikan pendatang tanpa izin yang ada di negara ini sebagai pekerja asing yang sah, digajikan oleh majikan yang layak, tertakluk kepada syarat ketat yang diputuskan oleh kerajaan menerusi Jabatan Imigresen dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia.

Mengenai Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, beliau berkata majikan akan dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Katanya beliau akan mengetuai siri lawatan bersama Kementerian Sumber Manusia dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini.

“Lawatan ke negara sumber utama bagi membincang dan memaklumkan anjakan polisi supaya mereka faham dan membantu memudahkan pengambilan pekerja di negara berkenaan,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata antara lain lawatan tersebut dilakukan bagi memastikan objektif Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dapat dicapai.

Bagaimanapun, katanya Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing, yang bertujuan memenuhi keperluan pembangunan ekonomi, bersifat sementara dan maklumat terperinci akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Kerajaan sentiasa memastikan pengurusan pekerja asing di Malaysia sentiasa berlandaskan kepada kedaulatan undang-undang negara dan pada masa sama menjamin pekerja asing yang berada di negara ini dilindungi haknya secara saksama,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata mesyuarat juga bersetuju bahawa pelaksanaan Akta Pekerja 1955 khususnya Seksyen 60K yang telah dipinda dan diwartakan pada 1 Januari tahun ini berkaitan dengan keperluan majikan untuk mematuhi, contohnya gaji minimum dan bayaran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tetap terpakai.

“Komitmen kerajaan ialah majikan kena memasukkan permohonan dan piagam pelanggan kita untuk pelaksanaan Akta Pekerja 1955 khususnya Seksyen 60K adalah kelulusan dalam tempoh kurang tiga hari,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here