KUALA LUMPUR, 12 Jan — Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong hampir mengejutkan pemain ketujuh dunia, Kodai Naraoka untuk melangkah ke suku akhir Terbuka Malaysia, namun pemain Jepun itu tampil lebih gah selepas pertarungan lebih 90 minit.

Beraksi pada pusingan kedua menentang pemain meningkat naik Jepun itu, Tze Yong, 22, tewas 21-15, 19-21, 21-15 di hadapan lebih 2,000 penyokong tanah air di Axiata Arena di sini.

Pemain di ranking ke-25 itu, bermula baik dengan kemenangan pada set pertama dan hampir mengesahkan kemenangan apabila mendahului 19-15 pada set kedua.

Namun, beliau kecundang apabila memberikan ruang kepada Naraoka untuk bangkit menyamakan kedudukan dan seterusnya meraih kemenangan pada set ketiga, yang lebih berpihak kepada Naraoka.

Keputusan itu menyaksikan Naraoka memperbaiki rekod pertemuan ke atas Tze Yong, apabila pernah menyingkirkan pemain Malaysia itu pada suku akhir Kejohanan Remaja Dunia 2018 di Kanada. 

“Saya akui saya kalah…Ketika saya mendahului beliau main bagus, bukan saya buat kesilapan mudah, saya rasa ini pengajaran untuk saya. Beliau berjaya ubah strategi dan mungkin saya kurang fokus.

“Memang ada jurang antara saya dan Kodai, terutamanya dari segi pengalaman kejohanan. Saya harus sertai lebih banyak kejohanan untuk raih pengalaman dan kerja lebih keras,” kata Tze Yong selepas aksi itu.

Naraoka yang menyingkirkan wakil tuan rumah dan juga pemain nombor dua dunia, Lee Zii Jia 21-13, 17-21, 19-21 semalam, akan bertemu HS Prannoy dari India, yang mengatasi Chico Aura Wardoyo dari Indonesia 21-9, 15-21, 21-16 hari ini. 

“Saya tidak tahu sama ada bergelar juara (dalam Terbuka Malaysia) tetapi saya akan berjuang memenangi setiap perlawanan,” kata Kodai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here