MUMBAI, 18 Jan — Jumlah penduduk di India dilaporkan bakal mengatasi China tahun ini, sekali gus menjadi negara paling ramai penduduk di dunia.

CNN melaporkan, kemungkinan penduduk India akan melepasi angka populasi China beberapa bulan lagi iaitu sekitar April apabila China melaporkan jumlah penduduk menyusut pada 2022 buat kali pertama dalam tempoh 60 tahun.

Dalam pada itu, peralihan itu akan mewujudkan implikasi ekonomi ketara bagi kedua-dua negara gergasi Asia itu yang mempunyai lebih 1.4 bilion penduduk.

Ketika ini dianggarkan India mempunyai 1.39 bilion penduduk berbanding China, 1.41 bilion penduduk.

Menurut data Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada 2021, penduduk bekerja di India kini berjumlah lebih 900 juta orang dan jumlah itu dijangka mencecah lebih 1 bilion penduduk untuk dekad akan datang.

Begitupun, pakar memberi amaran bahawa angka itu boleh bertukar menjadi satu liabiliti jika pembuat dasar tidak mewujudkan pekerjaan yang mencukupi.

Dalam masa sama, data menunjukkan semakin ramai penduduk India tidak mencari kerja berikutan kekurangan peluang dan gaji yang rendah.

Menurut data 2021 daripada Bank Dunia, kadar penyertaan tenaga buruh India, anggaran tenaga kerja aktif dan orang yang mencari pekerjaan, berada pada paras 46 peratus, antara yang terendah di Asia.

Sebagai perbandingan, paras untuk China dan Amerika Syarikat (AS) masing-masing berada pada 68 peratus dan 61 peratus pada tahun sama.

Bagi wanita, angka itu lebih membimbangkan yang mana kadar penyertaan kerja wanita India hanya 19 peratus pada 2021, menurun kira-kira 26 peratus pada 2005.

Kekurangan pendidikan berkualiti tinggi adalah salah satu sebab terbesar di sebalik krisis pengangguran di India.

Menurut Institut Negara McKinsey Global pada tahun 2020 sekurang-kurangnya 90 juta peluang kerja bukan sektor peladangan menjelang 2030 perlu disediakan untuk menyerap pekerja baharu termasuk dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here