KUCHING, 27 Jan — Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil sikap terbuka dan bersedia menambah baik segala aspek pendidikan di Sarawak supaya selari dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata komitmen itu antara perkara yang disampaikan beliau dalam kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini.

“Isu pendidikan di Sarawak menjadi antara tumpuan KPM khususnya isu MA63 dan prinsip pendidikan adalah untuk semua.

“Akses kepada pendidikan akan kita utamakan termasuk (menyelesaikan isu) sekolah daif di Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas kunjungan hormat itu di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Fadhlina berkata usaha membaik pulih 568 sekolah daif di seluruh Sarawak menjadi antara perhatian utama kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini.

Beliau berkata KPM telah mengenal pasti sebanyak 455 sekolah daif dalam skala enam dan 113 sekolah daif dalam skala tujuh.

Skala enam dan tujuh dalam penilaian infraskruktur sekolah itu merujuk kepada keadaan bangunan yang bahaya serta tidak selamat digunakan.

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM juga bersetuju untuk menganjurkan Pertandingan Bahas Piala Premier Sarawak sebagai usaha memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here