TANJUNG MALIM, 3 Feb — Penganjuran Minggu Sains Negara 2023 yang akan bermula pada April hingga Oktober ini bakal menyemarakkan aktiviti inovasi dan kreativiti negara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata itu antara yang dirancang kementerian dalam usaha membantu rakyat memahami, menghayati dan mengaplikasi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam setiap aspek kehidupan seharian.

“Ia juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap peranan STI dan kepentingannya dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosioekonomi negara,” katanya dalam ucapan perasmian Karnival Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) anjuran MOSTI di Universiti Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim berkata pada masa sama, pengisian program Minggu Sains Negara itu juga disusun bagi menarik minat pelajar sekolah rendah dan menengah supaya memilih jurusan berkaitan bidang STI.

Dalam pada itu, Karnival STI MOSTI selama dua hari mendapat sambutan menggalakkan pada hari pertama penganjurannya yang bertujuan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk meneroka dan mendapatkan maklumat mengenai STI.

“Penganjuran ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi serta orang awam mengenai teknologi dan inovasi yang dibangunkan sesuai dengan slogan MOSTI iaitu ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi’.

“Bagi mencapai status negara berteknologi tinggi, ia amat bergantung kepada sokongan bakat STI tempatan dengan harapan kita dapat mengelak kebergantungan kepada teknologi dari luar dan kepakaran tenaga asing. 

“Pelbagai inisiatif telah disediakan bagi memastikan modal insan ini benar-benar memenuhi kehendak industri dan pasaran masa hadapan. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan oleh kementerian adalah Program ‘Upskilling for Deeptech and Futureskills’,” katanya.

Beliau berkata karnival itu merupakan antara inisiatif kementerian dalam memupuk dan membudayakan STI dalam kalangan rakyat dengan menyediakan pelbagai aktiviti serta acara menarik sepanjang karnival.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here