KUALA LUMPUR, 7 Feb — Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 8.9 peratus kepada 30,556 tan metrik pada Disember 2022 berbanding 28,048 tan metrik pada November 2022.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran Disember disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (86.7 peratus) berbanding sektor estet (13.3 peratus).

Bagaimanapun, beliau berkata pada asas tahun ke tahun, pengeluaran getah asli berkurangan sebanyak 26.7 peratus berbanding 41,690 tan metrik pada Disember 2021.

Mohd Uzir berkata jumlah stok getah asli pada Disember tahun lepas meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada 201,359 tan metrik berbanding 193,396 tan metrik pada bulan sebelumnya.

Beliau berkata kategori kilang pemproses getah menyumbang 90.9 peratus daripada stok, diikuti kilang pengguna getah (sembilan peratus) dan ladang getah (0.1 peratus).

“Eksport getah asli Malaysia berjumlah 48,797 tan metrik pada Disember 2022, turun 4.2 peratus berbanding November 2022 (50,927 tan metrik).

“China kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli yang menyumbang 47.6 peratus daripada jumlah eksport pada Disember 2022, diikuti oleh Jerman (4.2 peratus), Amerika Syarikat (AS) (4.2 peratus), Iran (4.1 peratus) dan Brazil (2.6 peratus),” katanya dalam laporan Perangkaan Getah Bulanan Disember 2022 yang dikeluarkan jabatan itu hari ini.

Mohd Uzir berkata prestasi eksport itu disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

“Sarung tangan merupakan eksport utama produk berasaskan getah dengan nilai RM1.1 bilion pada Disember 2022, meningkat 1.5 peratus berbanding November 2022 (RM1.07 bilion),” katanya.

Jabatan Perangkaan berkata dari segi harga purata bulanan, lateks pekat merekodkan penurunan sebanyak 0.5 peratus pada 470.21 sen sekilogram pada Disember berbanding 472.58 sen sekilogram pada November, manakala sekerap meningkat empat peratus kepada 461.20 sen sekilogram berbanding 443.36 sen sekilogram pada bulan sebelumnya.

Ia berkata harga untuk semua ‘Getah Mutu Malaysia’ (SMR) antara -0.5 peratus hingga +1.1 peratus.

Katanya, World Bank Commodity Price Data melaporkan harga bagi getah jenis TSR 20 (Technically Specified Rubber) dan SGP/MYS (Singapura/Malaysia) masing-masing meningkat 6.0 peratus (daripada US$1.27 sekilogram kepada US$1.35 sekilogram dan meningkat 7.2 peratus daripada US$1.43 sekilogram kepada US$1.54 sekilogram. (US$1=RM4.30) 

Ia menyatakan suku keempat 2022 menunjukkan pengeluaran getah asli berkurangan sebanyak 18.5 peratus kepada 90,399 tan metrik berbanding 110,969 tan metrik pada suku ketiga tahun lepas, sambil menambah prestasi tahunannya pada suku keempat tahun lepas susut 21.6 peratus berbanding dengan 115,310 tan metrik pada 2021.

Jabatan Perangkaan menyatakan prestasi keseluruhan pengeluaran getah asli  tahun lepas menunjukkan penurunan 19.7 peratus kepada 377,047 tan metrik berbanding 469,669 tan metrik pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysia Rubber Board Digest Disember 2022, sentimen pasaran menurun yang menyumbang kepada penurunan dalam pengeluaran kilang di peringkat global pada November lepas disebabkan oleh penguncupan aktiviti perkilangan Amerika Syarikat untuk pertama kali dalam dua tahun setengah dan kesan sekatan COVID-19 di China, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here