KUALA LUMPUR, 9 Feb – Pasaran hartanah Malaysia dijangka stabil dan bersedia untuk pemulihan beransur-ansur walaupun terdapat sentimen berhati-hati di tengah-tengah jangkaan cabaran dan rintangan ekonomi pada 2023, kata firma perunding hartanah Rahim & Co International Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Tan Sri Abdul Rahim Abdul Rahman berkata syarikat itu optimis namun berhati-hati terhadap prospek tahun ini selepas aktiviti urus niaga pada 2022 membuktikan pasaran berdaya tahan, dengan pemulihan ketara bagi keseluruhan aktiviti pasaran.

“Kami optimistik tetapi berhati-hati terhadap prospek tahun ini, dengan dasar dan pelan hala tuju pembangunan strategik serta potensi kesan pemangkin pembangunan infrastruktur utama,” katanya dalam ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran penerbitan Kajian Pasaran Hartanah 2022/2023 (Property Market Review 2022/2023) syarikat di sini hari ini.

Penerbitan tahunan itu bertajuk ‘Rahim & Co Research: Property Market Review 2022/2023’  menganalisis pasaran hartanah untuk setiap negeri di negara ini.

Dalam pembentangan itu, Pengarah Penyelidikan Rahim & Co Sulaiman Akhmady Mohd Saheh berkata sektor kediaman menyaksikan pertumbuhan positif yang berterusan dalam prestasi transaksi pada 2022.

“Separuh pertama 2022 mencatatkan peningkatan 26.3 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya dari segi jumlah dan 32.2 peratus dalam nilai, menjadikan transaksi sebanyak 116,178 unit kediaman berjumlah RM45.6 bilion.

“Pertumbuhan berterusan pada suku ketiga tahun berkenaan dengan keseluruhan sembilan bulan pertama 2022 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 34.6 peratus dan 35 peratus dalam volum dan nilai transaksi kediaman.

“Mengikut volum, sektor kediaman menyumbang 61.8 peratus daripada jumlah transaksi di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kemampuan perumahan kekal di hadapan isu-isu yang ada selain isu kediaman tidak terjual dan dilema beli-atau-sewa.

Penerbitan itu mendedahkan jumlah tidak terjual untuk kediaman konvensional, pangsapuri perkhidmatan dan pejabat kecil, pejabat rumah pada suku ketiga 2022 ialah 55,482 unit bernilai RM41.57 bilion.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman Akhmady berkata kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang berterusan telah mengakibatkan berkurangnya permohonan untuk pinjaman perumahan.

“Sebelum ini (tahun lepas), ia agak menggalakkan dari segi permohonan pinjaman tetapi ia telah berkurangan sedikit kerana kenaikan OPR,” katanya.

Sementara itu, pada Belanjawan 2023, Rahim & Co menjangkakan sentimen terhadap sektor hartanah adalah sama dengan keadaan semasa pembentangan belanjawan sebelum ini.

“Pada masa ini, kami melihat kerajaan sebenarnya memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi jana semula dan hartanah adalah antara segmen yang lebih kepada segmen hiliran.

“Pada asasnya, tumpuan dari segi pemberian beberapa ‘goodies’ dan pengecualian untuk orang ramai harus diteruskan,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here