JOHOR BAHRU, 11 Feb – Selepas dua tahun tidak dapat diraikan berikutan pandemik COVID-19, Festival Perarakan Chingay kali ini disambut besar-besaran dan meriah dengan lebih 300,000 pengunjung membanjiri Jalan Wong Ah Fook serta sekitar bandar raya, di sini malam ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan berangkat menyaksikan perarakan sekali gus menyempurnakan simbolik perasmian Festival Perarakan Chingay 2023 dengan memalu gendang di pentas utama.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Liew Chin Tong serta Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri K Raven Kumar.

Sementara itu, pengunjung termasuk pelancong asing mula menunggu di sepanjang jalan seawal 5 petang bagi menyaksikan perarakan membabitkan lebih 80 kereta berhias, yang bermula sekitar 7 malam tadi.

Perarakan sejauh kira-kira 7.8 kilometer itu bermula dari Kuil Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek, Jalan Yahya Awal, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Ngee Heng, Jalan Tun Abdul Razak dan kembali semula ke Kuil Xing Gong.

Seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Yang Chun Hou, 29, berkata dia begitu gembira kerana buat pertama kali berpeluang menyaksikan perarakan tersebut.

“Tidak sangka orang begitu ramai kerana ini kali pertama saya dapat menyaksikan festival Chingay. Sebelum ini perarakan tersebut tidak dapat diadakan kerana COVID-19, jadi sudah tentu tahun ini lebih meriah dan dibuat besar-besaran,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Hezrina Hedzer, 53, pula berkata kali terakhir dia menyaksikan perarakan tersebut pada 2020, tetapi ketika itu ia diadakan pada skala kecil.

“Tahun ini saya dapat lihat orang begitu ramai, suasananya juga sangat meriah dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai kaum,” kata suri rumah itu.

Pelancong dari Romania, Greg Danciu, 35, dan pasangannya, Ioana Cristodorescu, 23, yang bercuti dua hari di negeri ini, berkata ia merupakan pengalaman baharu buat mereka kerana sebelum ini tidak mengetahui kewujudan festival itu.

“Kami memang berharap untuk menyaksikan kepelbagaian budaya di negara ini memandangkan ini pertama kali kami datang Malaysia,” kata Danciu.

Festival itu membawa maksud yang signifikan kepada masyarakat Tionghua kerana menggambarkan semangat permuafakatan antara kelima-lima suku dialek iaitu Teochew, Hokkien, Hakka, Guangsiew dan Hainan.

Kali terakhir festival itu diadakan adalah pada 2020 secara sederhana berikutan kebimbangan risiko jangkitan COVID-19 dengan hanya melibatkan perarakan lima kereta berhias.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here