SEPANG, 19 Feb – Beberapa individu dari dua agensi pekerjaan dalam negara yang dipercayai terbabit merekrut rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara ditahan kerana penglibatan dalam kes penipuan kerja. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata tangkapan itu dibuat oleh pihaknya bulan lepas dan kini disiasat oleh Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran.  

“Syarikat-Syarikat ini mempunyai lesen untuk membawa masuk pekerja asing untuk bekerja di Malaysia sebagai pembantu rumah, buruh binaan dan pekerja ladang.

“Bagaimanapun, mereka didapati telah mengambil kesempatan untuk eksport rakyat Malaysia untuk bekerja di luar negara seperti Thailand dan Myanmar sehingga mereka terkandas di sana. 

“Polis akan bekerjasama dengan Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen untuk siasatan tersebut untuk mencari dalang sindiket… Saya percaya dalang-dalang ini ada di kedua-dua negara dan mereka bekerjasama,” katanya dalam sidang media susulan kepulangan lima rakyat Malaysia dari Thailand yang terjebak dengan sindiket penipuan kerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini. 

Beliau turut mengingatkan badan bukan kerajaan (NGO) dan waris mangsa supaya menyalurkan maklumat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Kementerian Luar Negeri (KLN) bagi memastikan penyaluran maklumat dari Malaysia kepada pihak berkuasa Thailand hanya melalui satu saluran rasmi sahaja. 

“Isu maklumat yang bertindih adalah halangan paling besar dihadapi pihak berkuasa Thailand sebab bila kita salurkan maklumat kepada mereka, mereka terganggu sama ada nak terima maklumat daripada NGO atau PDRM. Benda itu tidak selaras.

“Jadi, kita telah ambil kata putus agar selepas ini hanya maklumat yang disalurkan oleh kedutaan atau polis-kepada-polis sahaja yang akan dilayan,” katanya. 

Pada masa sama, Abdul Jalil mengingatkan rakyat tempatan supaya berfikir panjang jika menerima tawaran kerja di luar negara dengan bayaran gaji yang lumayan.

Dengan kepulangan lima mangsa tersebut, PDRM dan Polis Diraja Thailand telah berjaya menyelamatkan 12 orang setakat ini dan sedang mengesan baki 14 lagi yang masih terkandas di sana.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here