KLUANG, 25 Feb – Kerajaan Johor telah mengenal pasti 30 lokasi di negeri ini untuk pelaksanaan Bazar Rakyat Agro Johor (BRAJ) bertujuan membantu orang ramai mendapatkan barangan keperluan dapur dengan harga berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Zahari Sarip berkata bagi menjayakan BRAJ, pihaknya melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Johor telah memperuntukkan sebanyak RM300,000.

Beliau berkata inisiatif itu yang bermula secara rasminya hari ini, akan berlangsung hingga Jun dengan bergerak ke 30 lokasi berbeza membabitkan tiga lokasi menjadi tumpuan orang ramai di setiap daerah.

“Pada fasa pertama ini, kita laksanakan dalam tempoh empat bulan dahulu melibatkan kira-kira 500 usahawan FAMA dengan sasaran 50,000 pengunjung selain menyasarkan jualan hingga 120 tan metrik bekalan keperluan.

“Ini sekali gus menunjukkan kerajaan Johor amat komited dalam mengatasi isu kenaikan harga barangan seterusnya membantu rakyat menangani tekanan kos sara hidup,” katanya.

Menurut Zahari, BRAJ turut mengetengahkan kira-kira 60 peratus usahawan baharu dan belia tempatan bagi memberi peluang kepada mereka menceburi bidang perniagaan sekali gus meningkatkan pendapatan.

Katanya antara dijual di BRAJ adalah barangan komoditi terpilih seperti ayam, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Zahari berkata selain FAMA, bazar berkenaan turut dijayakan oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here