KUALA LUMPUR, 1 Mac – Turkiye dilihat sebagai rakan dagang pertanian berpotensi tinggi berikutan kesediaan negara itu menawarkan sumber daging, ayam dan produk ayam, madu dan buah-buahan untuk dieksport ke Malaysia.

Perkara itu dinyatakan ketika kunjungan hormat Duta Besar Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel ke atas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), di sini semalam.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan pertemuan kali pertama tersebut bagi membincangkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian terutama pertanian moden dan penyelidikan pertanian.

“Kedua-dua negara turut bersedia untuk memperkukuh kerjasama perdagangan dalam bidang pertanian selaras dengan keperluan bagi menjamin sumber makanan yang mampan dan berterusan.

“Tambahan pula, Turkiye juga bersedia berkongsi kepakarannya dalam bidang teknologi pertanian moden dan mekanisasi untuk membantu industri pertanian Malaysia,” menurut kenyataan itu. 

Mohamad turut menzahirkan rasa simpati terhadap Turkiye yang dilanda gempa bumi. Pada masa sama, Turkiye turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Malaysia atas bantuan misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here