KOTA KINABALU, 12 Mac – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata sebanyak 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan Inisiatif Menu Rahmah di seluruh negara setakat ini dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 105 premis makanan di Sabah telah menyertai program itu termasuk sebuah hotel di Sandakan yang menjadi hotel pertama di negara ini menawarkan pakej penginapan dengan harga Rahmah sepanjang Ramadan akan datang.

“Sehubungan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyeru lebih ramai lagi pemain industri khususnya restoran, makanan dan peruncitan Sabah supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan aspirasi ini bagi meringankan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Menu Rahmah ialah inisiatif terbaharu kerajaan dalam membantu dan mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang memerlukan untuk mendapatkan makanan bermasak yang seimbang pada harga RM5 dan ke bawah.

“Menu Rahmah ialah inisiatif sukarela syarikat swasta yang kerajaan tidak menentukan harga, kaedah pelaksanaan, bahan-bahan, serta lauk bagi Menu Rahmah yang ditawarkan, asalkan ia seimbang dengan kandungan protein, karbohidrat dan serat berupa sayur-sayuran.

“Berdasarkan maklum balas daripada peniaga yang telah menyertai inisiatif ini, Menu Rahmah telah dijadikan model perniagaan Daya Penarik Pelanggan untuk menarik pelanggan ke premis mereka.

“Dengan itu, pendapatan mereka dapat ditingkatkan melalui kuantiti jualan yang dapat menampung pengurangan margin dan pada masa yang sama turut bersama-sama dalam usaha kebajikan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here