GEORGE TOWN, 14 Mac – Susulan kejayaan 48 pelajar kohort pertama pada sidang akademik lepas, sejumlah 103 pelajar kohort kedua akan mendaftar bagi mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada bulan ini.

Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM Profesor Dr Noor Hazlina Ahmad berkata ini adalah hasil perjanjian kolaborasi akademik di antara universiti itu dengan Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Mesir (MCIT) pada 7 Mac tahun lepas.

“Agensi Pembangunan Industri Teknologi Maklumat (ITIDA), di bawah Digital Egypt Builders Initiative (DEBI), telah bersetuju membiayai pelajar-pelajar cemerlang Mesir untuk mengikuti program Sarjana Analitik Perniagaan yang ditawarkan oleh Pusat Pengajian Pengurusan secara dalam talian jarak jauh,” katanya.

Noor Hazlina berkata beliau dimaklumkan bahawa MCIT melalui ITIDA telah menghantar pelajar-pelajar cemerlang Mesir ke tiga negara iaitu Kanada, Ireland serta Malaysia (USM) dan maklum balas yang diperoleh mengenai program Sarjana Analitik Perniagaan USM adalah amat memberangsangkan.

“Justeru mereka berhasrat untuk meneruskan kolaborasi ini bersama USM bagi penawaran program baharu kelak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here