KUALA LUMPUR, 15 Mac – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan meningkatkan penglibatan masyarakat Orang Asli dalam usaha pemeliharaan alam sekitar, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata komuniti itu dilihat mampu menjadi barisan hadapan dalam usaha memulihara ekosistem flora dan fauna kerana mempunyai ilmu dan kemahiran menggunakan sumber alam dengan impak minimum terhadap risiko pencemaran.

Mengambil contoh inisiatif badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Pelindung Harimau Malaysia (RIMAU) bersama masyarakat Orang Asli di Taman Negeri Royal Belum di Perak, beliau berkata usaha melindungi Harimau Malaya sukar dicapai sekiranya tiada penglibatan daripada mereka.

“Saya lihat macam di sana pun (Royal Belum), NGO itu bukan hanya lakukan program pendidikan.. tetapi turut melakukan program kebudayaan dengan masyarakat Orang Asli supaya ada daya tarikan selain dapat memastikan mereka memainkan peranan selaku barisan hadapan.

“Kita akan bekerjasama, walaupun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di bawah Kementerian Desa dan Wilayah, tetapi kita akan bekerjasama, sebagai pendekatan kerajaan menyeluruh supaya kita dapat melibatkan masyarakat Orang Asli ini dengan lebih aktif dalam usaha memelihara alam sekitar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here