KUALA LUMPUR, 16 Mac – Mesej yang padu dan bersatu negara anggota ASEAN termasuk Malaysia perlu untuk menentang aktiviti ancaman siber haram oleh Korea Utara.

Ketua Pengarah Kementerian Luar Korea Selatan bagi Biro Rejim Keamanan Semenanjung Korea, Chun Young Hee berkata aktiviti haram yang menyasarkan institusi kewangan dan pertukaran mata wang kripto wajar ditonjolkan di semua peringkat.

Ini sangat penting kerana ia berpotensi menyumbang kepada peningkatan isu yang berkaitan dengan pembangunan nuklear dan peluru berpandu negara itu.

“Kami percaya mereka menggunakan sumber mereka untuk membangunkan program nuklear dan peluru berpandu. Pada masa kami terus mendesak mereka untuk kembali ke meja rundingan, kegiatan haram ini pula berlaku.

“Untuk itu, kita perlu bekerjasama dan saya berharap Malaysia juga akan bergabung untuk bertindak balas menerusi mesej padu dan bersatu kepada Korea Utara untuk meninggalkan program nuklear dan peluru berpandu dan kembali ke meja rundingan,” katanya.

Difahamkan, jumlah mata wang kripto yang dicuri oleh Pyongyang sejak 2017 melebihi AS$1.2 bilion dan kira-kira AS$626 juta pada tahun ini sahaja.

Bercakap mengenai lawatan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol ke Jepun pada Khamis (16 Mac), Chun percaya provokasi berterusan Korea Utara akan menjadi antara isu yang akan dibincangkan bersama.

“Sama seperti Korea Selatan, provokasi Korea Utara juga merupakan ancaman besar yang akan berlaku kepada Jepun. Pada lawatan dan pertemuan peringkat tinggi itu, kedua-dua pemimpin berpotensi membincangkan isu itu bersama-sama,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here