IPOH, 19 Mac – UMNO Perak telah mengenal pasti lebih 50 ahlinya yang bertindak mensabotaj parti itu, dengan melakukan pelbagai kesalahan semasa tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15, termasuk dengan berkempen untuk parti lawan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata daripada jumlah itu, 17 orang daripada Umno Bahagian Larut telah dipecat, manakala lebih sebahagian lagi termasuk dari bahagian lain, sedang disiasat sebelum tindakan lanjut dikenakan.

“Ada yang tidak jadi calon, pencadang atau penyokong kepada pembangkang, tetapi semasa tempoh berkempen, dia terang-terang sama ada dia ceramah atau bawa bendera pembangkang atau kempen bagi pihak pembangkang.

“Sehubungan itu kita telah hantar laporan kepada jawatankuasa Lembaga Disiplin (UMNO) negeri dan juga Malaysia, dan sebahagiannya pun telah dipecat. Yang lainnya kita tunggu sehingga jawatankuasa pengurusan parti umumkan,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata beliau berpuas hati dengan proses perjalanan pemilihan UMNO di Perak semalam.

“Tiada berlaku kekecohan yang serius dan Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) bertugas dengan baik, malahan kebanyakan mereka telah mengambil pengalaman pada 11 Mac yang lalu untuk mereka perbaiki.

“Jadi saya harap mereka yang dipilih bersyukur, terima kasih dan berazam untuk beri perkhidmatan yang baik. Yang tidak berjaya jangan putus asa, jangan merajuk, jangan sabotaj parti kerana kalau nak beri sumbangan, kita boleh beri sumbangan dalam apa jua keadaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here