KUALA LUMPUR, 21 Mac UMW Toyota Motor melancarkan model generasi keempat Toyota Vios dengan jumlah tempahan melebihi 5,000 unit setakat ini sejak pengumuman tempahan dibuka pada 24 Feb, 2023.

Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata ini adalah bukti populariti Toyota Vios Serba Baharu di pasaran Malaysia.

“Kami teruja untuk memulakan tahun ini dengan pelancaran Toyota Vios Serba Baharu, yang mewakili komitmen kami dalam menyediakan kenderaan dan perkhidmatan berkualiti terbaik kepada pelanggan.

“Kami tidak sabar untuk mengharungi tahun gemilang dan penuh dengan peluang untuk memacu pertumbuhan serta pembangunan ekonomi Malaysia,” katanya.

Model yang dikilangkan di Assembly Services Sdn Bhd (ASSB) di Bukit Raja, Klang, Selangor ini menawarkan prestasi lebih baik, pecutan lebih pantas, dan teknologi baharu.

Menurut UMW Toyota Motor, model ini disempurnakan dengan enjin 1.5-liter DOHC Dual VVT-i yang terbukti dipertingkatkan untuk menawarkan prestasi yang lebih kukuh, manakala transmisi 7-kelajuan CVT dengan Sequential Shiftmatic memberikan pecutan lebih tangkas, selain meningkatkan lagi tahap kecekapan bahan api.

Selain itu, Toyota Safety Sense (TSS) yang ada padanya menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik menerusi penggunaan teknologi termaju kepada pemandu dan penumpang iaitu memberi amaran kepada pemandu mengenai bahaya dan bertindak balas secara autonomi bagi mencegah atau mengelakkan pelanggaran.

Fungsi baharu seperti Paddle Shifters dan Electronic Parking Brake menambahkan lagi kemudahan kepada semua pemandu, jelasnya.

Difahamkan, penggunaan teknologi termaju dalam proses pemasangan Toyota Vios Serba Baharu bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kecekapan pengeluarannya, malah juga menggalakkan lagi peningkatan kemahiran tenaga kerja, memupuk pengembangan pengetahuan dalam industri, dan seterusnya memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.

Vios Serba Baharu ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 G (AT) dan 1.5 E (AT), tersedia menerusi lima pilihan warna dengan Spicy Scarlet tampil sebagai pilihan terkini selain hadir dengan waranti lima tahun dan perbatuan tanpa had.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here