LABUAN, 25 Mac – Dewan Perdagangan Labuan (LCC) berharap Senator Datuk Seri Anifah Aman yang baru dilantik dapat membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi pulau bebas cukai itu.

Pengerusinya Daniel Doughty berkata pelantikan Anifah adalah langkah positif ke arah menggalakkan pembangunan ekonomi Labuan yang dapat menambah baik kebajikan rakyat.

“Sebagai seorang tokoh terkenal dalam politik Malaysia dan bekas Menteri Lua, beliau membawa pengalaman luas dan pengetahuan kepada peranan baharunya ini,” katanya.

Doughty berkata Anifah mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam hal ehwal luar negara, rangkaian dan pengetahuan yang luas di peringkat persekutuan amat berharga dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi Labuan dan menarik lebih banyak pelaburan asing.

Beliau berkata pulau itu Labuan mempunyai rancangan pembangunan ekonomi sambil beralih daripada pemikiran ekonomi silo.

“Labuan boleh menjadi hab logistik yang menyokong bandar di tanah besar (Sabah dan Sarawak) dan memainkan peranan penting sebagai pemboleh ekonomi,” katanya.

Dengan strategi sedemikian, Anifah boleh membantu mengukuhkan ekonomi dan menyelaraskan dasar yang memberi kesan kepada ekonomi Labuan.

“Dengan pemulihan aktiviti pemindahan di pelabuhan dan kelulusan enam kawasan aktiviti pemindahan untuk operasi kapal di Victoria Bay Labuan, ia bersedia untuk menjadi hab pemindahan kapal bagi Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur – Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya.

Doughty berkata perkembangan itu penting untuk Labuan dan Sabah boleh memanfaatkannya.

“LCC mahu Anifah memperjuangkan keperluan Labuan, antaranya memulihkan hab Halal yang telah lama tidak aktif dan menukar kawasan itu menjadi zon komersial bebas.

“Ini akan membawa masuk pelaburan dan mewujudkan peluang pekerjaan dalam aktiviti pelabelan semula dan pembungkusan semula,” katanya.

Beliau berkata terdapat juga peluang untuk menempatkan semula terminal feri ‘roll on-roll off’ untuk mewujudkan lokasi kastam, imigresen, kuarantin dan keselamatan (CIQS) baharu antara Tanjung Aru Labuan dan Mempakul di Sabah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here