KUALA LUMPUR, 29 Mac – Malaysia telah mengambil langkah penting ke arah menjadi hab yang diiktiraf bagi penyelesaian maklumat siber berikutan pemeteraian perjanjian perkongsian penting antara Velum Labs Sdn Bhd (VLSB) dan TriCIS Ltd yang berpangkalan di United Kingdom (UK).

Perjanjian perkongsian itu akan menyaksikan anak syarikat Sapura Holdings Bhd, VLSB dan TriCIS menyediakan keupayaan keselamatan siber kepada kerajaan dan pelanggan sektor swasta di seluruh rantau di bawah perjanjian dua hala bersama UK dan Malaysia.

VLSB ialah syarikat maklumat dan keselamatan siber tempatan yang terkemuka yang menyediakan penyelesaian maklumat dan keselamatan siber dipertingkatkan yang diperoleh daripada pemahaman peneraju pasaran mengenai metodologi serangan siber.

TriCIS pula adalah pakar dalam mereka bentuk dan kejuruteraan penyelesaian bersepadu yang sangat selamat memenuhi paras tertinggi dalam piawaian keselamatan kerajaan dan ketenteraan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sapura, Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata syarikat itu menghargai kepercayaan dan keyakinan diberikan TriCIS terhadap Velum Labs dengan menggunakan sepenuhnya set kemahiran dan rekod prestasinya dalam keselamatan siber dan ruang maklumat siber.

“Memandangkan kami diurus dan dikendalikan oleh bakat tempatan, perkongsian ini mencerminkan keupayaan tenaga kerja Malaysia kami bertaraf dunia dan pengetahuan teknikal.

“Dengan bergabung tenaga dengan TriCIS, kami boleh maju ke hadapan dalam inovasi dan penyelesaian luar kotak yang boleh menempatkan Malaysia di barisan hadapan teknologi telekomunikasi milik negara serta memenuhi keperluan negara kita untuk mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyatnya,” katanya.

TriCIS yang mempunyai pengalaman melebihi empat dekad ialah pembekal yang dipercayai kepada Kementerian Pertahanan UK dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Menurut Mordor Intelligence, pasaran keselamatan siber pertahanan global bernilai US$16.22 bilion pada 2020 dan dijangka mencecah US$28.53 bilion menjelang 2026, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira 10.51 peratus antara 2021 dan 2026.

Laporan itu juga berkata Asia Pasifik adalah rantau yang paling pesat berkembang untuk pasaran tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif TriCIS, Antony Summerfield berkata syarikat itu berbesar hati untuk bekerjasama dengan VLSB kerana kepakaran teknikal dan perisian mereka dalam keselamatan siber dan maklumat siber sangat penting dalam mencipta penyelesaian yang sangat maju yang dapat memenuhi keperluan pertahanan dan keselamatan negara dan industri di rantau ini dan di seluruh dunia.

“Kami juga berharap dapat memanfaatkan bakat Malaysia dan hubungan rapatnya dengan negara-negara di seluruh rantau untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran yang berkembang pesat dan dinamik ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here