KUALA LUMPUR, 1 April – Dengan penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), pengeksport Malaysia akan mendapat manfaat daripada akses keutamaan tambahan ke pasaran UK, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata selepas pelaksanaan perjanjian itu, UK akan memansuhkan duti import untuk pelbagai produk termasuk minyak sawit, koko, getah, elektrik dan elektronik serta bahan kimia, yang mempunyai kepentingan eksport yang penting kepada Malaysia.

“Penyertaan UK dalam CPTPP akan membuka peluang baharu kepada perniagaan Malaysia serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), terutamanya melalui saluran sumber yang lebih luas untuk bahan pada harga yang kompetitif, serta bantuan teknikal dan program pembinaan kapasiti, yang akan terus memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengukuhkan rantaian bekalan serantau.

“Dengan hubungan perdagangan dan pelaburan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan UK, keahlian dalam CPTPP akan meningkatkan lagi hubungan rapat ini dan menggalakkan kerjasama ekonomi yang lebih baik,” katanya.

Semalam, UK memuktamadkan rundingan perdagangan dengan negara anggota untuk menyertai CPTPP selepas 21 bulan rundingan.

Di bawah pengumuman oleh CPTPP dan menteri-menteri UK mengenai rumusan penting rundingan penyertaan UK dalam CPTPP, semua Pihak akan berusaha ke arah memuktamadkan instrumen penyertaan yang sah, termasuk menandatangani protokol penyertaan yang dijadualkan pada suku ketiga 2023.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here