JOHOR BAHRU, 5 April – Tahap kemajuan kerja projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura kini mencapai 32.42 peratus, merangkumi pelbagai komponen seperti depoh, stesen, jajaran darat dan jajaran marin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata kerajaan negeri komited memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu akan mula beroperasi pada 2026. 

“Bagi melancarkan proses kemajuan projek ini, Johor telah menubuhkan satu pasukan pertugas pada 21 Okt 2020 untuk membantu memudahkan apa sahaja perkara berkaitan kerajaan negeri sebagai contoh, isu tanah dan sebagainya dengan urus setianya adalah PLANMalaysia Johor.

“Kita menjangkakan infrastruktur projek ini siap pada Disember 2024, dan beroperasi mulai Disember 2026, setakat ini ia mengikut jadual dan segala perkembangan berhubung projek dipantau rapat oleh Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata dengan adanya perkhidmatan tersebut ia bakal menyelesaikan sebahagian daripada cabaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura dengan jangkaan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

RTS Link merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar di sini.

Berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya ini, Mohamad Fazli berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan, bagaimanapun perkara itu memerlukan kajian lebih komprehensif memandangkan Johor sudah mempunyai mod pengangkutan awam lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here