SHAH ALAM, 8 April – Kerajaan akan memperluas bantuan e-Dompet 2023 kepada semua mahasiswa di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu adalah bagi memastikan bantuan tersebut dapat dimanfaatkan oleh golongan berkenaan.

“Saya akan putuskan supaya e-Dompet boleh dimanfaatkan semua mahasiswa,” katanya.

Isu itu dibangkitkan oleh seorang wakil pelajar yang mendapati Belanjawan 2023 meletakkan kategori penerima bantuan e-Dompet berjumlah RM200 adalah individu berusia 18 hingga 20 tahun, menyebabkan sebahagian mahasiswa tidak mendapat manfaat selain tidak boleh memohon bantuan bagi kategori bujang.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, turut memberi jaminan bahawa Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengadakan beberapa rancangan segera bagi memastikan akses Internet di semua kampus di seluruh negara dalam keadaan baik.

“Arahan kita sekarang untuk Kerajaan Perpaduan, syarat pertama mesti memastikan akses (Internet) ini menyeluruh di seluruh negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here