BEIJING, 11 April – Pusingan ke-15 Mekanisme Perundingan Peringkat Tinggi China-Jepun mengenai Hal Ehwal Maritim diadakan di Tokyo, pada Isnin.

Rundingan dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sempadan dan Laut Kementerian Luar China, Hong Liang dan Ketua Pengarah Biro Asia dan Oceania Kementerian Luar Jepun, Takehiro Funakoshi.

Kedua-dua pihak mengadakan mesyuarat pleno dan mesyuarat tiga kumpulan kerja iaitu pertahanan maritim, penguatkuasaan dan keselamatan maritim serta ekonomi marin.

Tahun ini ialah ulang tahun ke-45 Perjanjian Keamanan dan Persahabatan China-Jepun. Kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, mengkaji semula dan mengikuti semangat perjanjian itu, serta menangani perselisihan berkaitan laut melalui dialog.

Kedua-dua negara turut bersetuju untuk memperkasakan kerjasama praktikal dalam bidang maritim, melakukan usaha positif untuk membina Laut China Timur menjadi lautan keamanan, kerjasama dan persahabatan serta menggalakkan penubuhan hubungan China-Jepun yang memenuhi keperluan era baharu.

Semasa berlangsungnya rundingan itu, lapan kata sepakat yang berjaya dicapai antaranya mempersetujui mempercepat pembinaan dan penggunaan talian telefon terus antara jabatan pertahanan China dan Jepun sebagai mekanisme komunikasi udara dan laut, selain mahu terus memperkukuh pertukaran dalam bidang pertahanan.

Kedua-dua pihak turut sepakat untuk memperkukuh dialog dan kerjasama antara jabatan pengawal pantai, termasuk kerjasama dalam memerangi jenayah rentas sempadan maritim, seterusnya memainkan peranan sebagai jendela penghubung antara pihak pengawal pantai China dan Jepun, serta memperkukuh dialog dan kerjasama di bawah mekanisme kerjasama penguatkuasaan undang-undang maritim pelbagai hala.

Pada masa sama, aktiviti pertukaran antara anggota penguatkuasa undang-undang maritim dan pelajar dari akademi polis maritim turut mendapat persetujuan untuk terus digalakkan.

Selain itu, kedua-dua negara akan terus mengintensifkan kerjasama praktikal dalam bidang pencarian dan penyelamatan maritim.

Antara lain kedua-dua pihak juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor perikanan, penyelidikan saintifik marin dan pemuliharaan ekologi marin, menggalakkan pertukaran lawatan personel jabatan diplomatik membabitkan urusan maritim, serta mengadakan pusingan ke-16 Mekanisme Perundingan Peringkat Tinggi China-Jepun mengenai Hal Ehwal Maritim di China pada tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here