PETALING JAYA, 13 April – Prasarana Malaysia Berhad akan melaksanakan sistem indeks prestasi utama (KPI) baharu yang bertujuan untuk memantau dan menjamin penyelenggaraan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) yang lebih baik. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata KPI yang dinamakan dinamakan Ukuran Kilometer Sebelum Kegagalan (MKBF) itu adalah pendekatan yang akan digunakan untuk menilai kestabilan dan perjalanan tren sebelum kerosakan berlaku, dan ia juga telah dilaksanakan di beberapa buah negara. 

Beliau berkata KPI itu yang bersifat terbuka, akan dipapar dan dikemas kini secara bulanan di laman web dan media sosial Prasarana untuk makluman serta penilaian orang awam, bermula bulan depan. 

“Sekarang kita mengalami satu situasi yang tidak memuaskan, MKBF untuk laluan LRT Kelana Jaya adalah 150,000 (kilometer), iaitu kadar kerosakan berlaku dalam kadar 150,000 kilometer perjalanan tren… itu angka yang tidak memuaskan.

“Jadi sasaran MKBF kita menjelang suku tahun ketiga 2026 ialah satu juta, iaitu kerosakan tren hanya akan berlaku selepas satu juta kilometer perjalanan,” katanya.

Loke berkata sasaran itu akan dicapai secara berperingkat, dan beliau yakin perkhidmatan tren akan bertambah baik susulan penambahan gerabak baharu mulai Ogos ini. 

“MKBF juga merujuk kepada gangguan teknikal melebihi lima minit…maksudnya kalau ada kelewatan atau gangguan tren lima (minit) ke atas, dikira sebagai satu kerosakan dan akan dinilai melalui MKBF,” katanya.

Beliau berkata selain itu, laporan jumlah penumpang, faktor perjalanan, kemudahan ekskalator dan lif juga akan dipaparkan secara terbuka menerusi laporan mingguan di platform sama. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here