KUALA LUMPUR, 14 April – Seratus peratus peniaga wanita tempatan yang berjaya menerusi Shopee menggunakan platform e-dagang itu untuk turut membantu memperkasa sosioekonomi golongan wanita lain.

Shopee Malaysia memaklumkan menerusi kajian Shopee 2023: ShopeeSapotLokal Building Connected Communities yang dijalankan, mendapati dua pertiga daripada 1,015 responden yang terdiri dalam kalangan peniaga wanita, mengupah sama ada wanita bujang, luar bandar dan miskin.

“Atau mereka (peniaga wanita) mengambil sumber produk terus daripada pembekal milik golongan wanita, manakala satu pertiga lagi menggunakan platform Shopee bagi memudahkan peluang rangkaian dan program latihan kepada golongan wanita,” menurut kenyataan itu.

Shopee 2023: ShopeeSapotLokal Building Connected Communities dijalankan pada 17 hingga 31 Mac lepas dengan maklum balas responden tentang cara penyertaan mereka di pasaran mendorong pemerkasaan wanita lain.

Kajian itu juga mendapati lapan daripada sepuluh responden menghargai faedah dan kebebasan memulakan kedai dalam talian dengan pelaburan minimum dan kemudiannya meningkatkan perniagaan mereka dengan lebih mampan.

Sementara itu, dua daripada sepuluh responden pula menghargai masa fleksibel yang diperoleh melalui platform Shopee sekali gus mengimbangi antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu di rumah.

Hasil kajian ini menunjukkan bahawa wanita Malaysia dalam ekonomi digital bukan sahaja menyokong tanggungan isi rumah semasa jualan e-dagang puncak Ramadan tetapi merupakan penggerak dalam meluaskan akses kepada pelanggan dan menyediakan lebih fleksibiliti dalam pengurusan masa kepada golongan wanita.

Menerusi tinjauan Past the Starting Line: Adapting to Malaysia’s Digital Consumers in 2023 melibatkan 2,150 pembeli dan 1,087 penjual di platform selaku responden, mendapati 60 peratus daripada mereka menyokong perniagaan golongan wanita bagi pertumbuhan kerjaya, pemerkasaan kewangan dan kestabilan jangka panjang.

“Sebanyak 40 peratus lagi percaya bagi memberi impak positif dengan produk yang meningkatkan kehidupan dan menjadi suri teladan yang boleh dicontohi wanita dan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pemasaran Shopee Malaysia Kenneth Soh berkata pihaknya sentiasa menyokong peniaga wanita di platform e-dagang itu menerusi pelbagai cara, termasuk menggalakkan pembeli dalam talian untuk terus menyokong mereka.

“Golongan wanita juga memainkan peranan penting dalam ekonomi digital Malaysia dan kami mendengar dengan teliti dan memberi mereka platform untuk berjaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here