KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) — LaundryZone akan menjadi syarikat dobi premium pertama Malaysia yang menyediakan perkhidmatannya di Arab Saudi dengan pelaburan awal dianggarkan RM15 juta berikutan perkongsian strategik syarikat berkenaan dengan Elaf Group.

Di bawah perjanjian selama tiga tahun itu, LaundryZone akan menyewa dan mengendalikan kemudahan dobi Elaf di Mekah, antara kemudahan terkemuka di kota suci itu.

LaundryZone juga telah diamanahkan mengurus dan mengendalikan perkhidmatan dobi untuk hotel-hotel di bawah Elaf Group, kata Ketua Pegawai Eksekutif Noor Hayati Basri.

“Kami menyasar untuk memulakan operasi kilang sebelum musim haji tahun ini dan terbuka kepada peluang perkongsian strategik dengan agensi pelancongan untuk menyediakan perkhidmatan dobi khusus kepada jemaah haji dan umrah melalui agensi-agensi ini.

“Rancangan untuk mengadakan kafe dobi layan diri di Mekah juga akan menyusul dalam masa beberapa bulan selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kafe dobi layan diri di Arab Saudi akan dibuka di kawasan bandar strategik Jeddah, Madinah dan Riyadh.

Antara kemudahan yang akan disediakan di kafe itu ialah kemudahan menggosok/menyeterika, mesin makanan layan diri, kaunter utama menjual makanan dan minuman serta tempat duduk yang selesa dalam suasana yang kondusif.

“LaundryZone mempunyai pengalaman meluas dalam menyediakan perkhidmatan dobi dan pembersihan pakaian untuk pelbagai industri, seperti  farmaseutikal, penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, hospitaliti dan peruncitan.

“Kepakaran kami termasuk pembersihan linen, bahan kesihatan, kabin kapal terbang dan kilang serta perkhidmatan lain seperti membekalkan peralatan dan pakaian pelindung pakai buang untuk pengamal perubatan,” tambah Noor Hayati.

Konsul Perdagangan Bahagian Komersial Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah Faizalkhan Jaafar berkata perkhidmatan yang disediakan melalui kerjasama LaundryZone dan Elaf Group adalah sejajar dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan kualiti dan kepelbagaian perkhidmatan yang ditawarkan kepada jemaah haji memandangkan jumlah kehadiran ke tanah suci dijangka meningkat dengan ketara pada tahun-tahun akan datang.

Di bawah Wawasan Arab Saudi 2030, ia menyasar untuk meningkatkan bilangan jemaah haji kepada 30 juta dengan menambah baik penyampaian perkhidmatan antaranya logistik, penjagaan kesihatan, teknologi dan sektor pelancongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here