GEORGE TOWN, 17 April – Kerajaan negeri Pulau Pinang berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat ketat yang diperkenalkan untuk pemohon baharu Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri (PETACE) Yeoh Soon Hin dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini menyeru KDN untuk mengkaji dan menyemak semula syarat baharu MM2H dengan segera supaya ia seiring dengan perubahan dalam keperluan ekonomi dan memberi sumbangan untuk memulihkan ekonomi Malaysia selepas pandemik.

“Ekspatriat memainkan peranan penting dalam membawa kesan berganda bagi pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan Malaysia secara keseluruhan.

“Justeru, ia menguntungkan negara sekiranya syarat pemohon baharu MM2H adalah adil, munasabah dan berkesan untuk menggalakkan penduduk tetap atau pelabur berpotensi dari luar negara untuk menetap di sini,” katanya.

Yeoh berkata sebagai salah satu destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara, Pulau Pinang terkenal dengan pelbagai budaya yang meriah, makanan jalanan yang enak dan lokasi geografi strategik, ia telah menjadi daya tarikan bagi ramai ekspatriat.

Beliau berkata Persatuan Perunding MM2H mendapati syarat yang lebih ketat menyebabkan penurunan sebanyak 90 peratus jumlah pemohon MM2H sejak ia diperkenalkan pada 2021.

“Syarat ketat tersebut menjejaskan warga asing untuk menetap di sini bagi tempoh jangka panjang. Sekiranya ia (syarat ketat) berterusan, saya berpendapat ramai ekspatriat tidak lagi memilih Malaysia dan akan beralih ke negara jiran yang lebih mudah bagi mereka untuk memenuhi syarat kelayakan untuk menetap di sana,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here