ISTANBUL, 18 April – Amerika Syarikat (AS) pada Isnin mengumumkan pelaburan baharu sektor swasta dan awam untuk kenderaan elektrik mampu milik.

Pelan itu yang merupakan sebahagian daripada matlamat Presiden Joe Biden untuk menjadikan 50 peratus daripada semua jualan kenderaan baharu di AS menjelang 2030 adalah kenderaan elektrik, bertujuan untuk meningkatkan pembuatan domestik, mengukuhkan rantaian bekalan, meningkatkan daya saing AS dan mewujudkan pekerjaan, menurut kenyataan Rumah Putih.

Antara insentif itu termasuk mengurangkan kos kenderaan elektrik (EV) dan infrastruktur pengecasan EV, meningkatkan permintaan pengguna, menggalakkan penyatuan dan mempercepat pertumbuhan pasaran EV.

Walaupun lebih AS$100 bilion telah diumumkan untuk pembuatan bateri EV sahaja, beberapa syarikat Amerika dan badan bukan keuntungan seperti Blink Charging, Persatuan Penjual Kereta, Pacific Gas & Electric, Uber dan ZipCar turut mengumumkan komitmen baharu masing-masing pada Isnin untuk mengembang dan menambah bilangan EV dan stesen pengecas EV.

Rumah Putih berkata Uber komited untuk mencapai 400 juta batu EV yang dipandu pada platformnya di AS menjelang akhir 2023 manakala firma perkongsian kereta Zipcar mensasarkan untuk memperuntukkan 25 peratus kenderaan elektriknya kepada komuniti yang kurang bernasib baik tahun ini.

Blink Charging, yang memiliki, mengendali dan menyediakan peralatan pengecasan EV, komited untuk melabur AS$49 juta untuk meningkatkan kapasiti pembuatan, katanya.

Menurut Rumah Putih, kini terdapat lebih 3 juta EV di jalan raya di AS dan lebih 135,000 pengecas EV awam di seluruh negara.

Pada akhir Mac, Jabatan Perbendaharaan AS dan Jabatan Hasil Dalam Negeri, mengumumkan peraturan baharu mengenai kenderaan bersih bagi mengurangkan kos pengguna Amerika serta mengukuhkan rantaian bekalan.

Setiausaha Perbendaharaan Janet Yellen berkata peraturan baharu itu akan membantu pengguna berjimat sehingga AS$7,500 ke atas kenderaan bersih baharu dan ratusan dolar setahun untuk petrol.

Perbendaharaan berkata sekurang-kurangnya AS$45 bilion pelaburan sektor swasta telah diumumkan di seluruh rangkaian bekalan kenderaan dan bateri bersih di AS sejak Biden menandatangani Akta Pengurangan Inflasi Ogos lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here