BEIJING, 20 April – Presiden China, Xi Jinping menerima kunjungan hormat rakan sejawatnya dari Gabon, Ali Bongo Ondimba di Beijing pada 19 April. Mereka memutuskan untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara ini ke tahap perkongsian strategik komprehensif.

Xi Jinping menyatakan bahawa China kini mempergiat pembangunan berkualiti tinggi dan modenisasi ala China secara menyeluruh. Pada masa sama, Gabon juga berusaha ke arah merealisasikan matlamat strategik Gabon Muncul (Emerging Gabon).

Beliau berkata, China bersedia mengintensifkan pertukaran pengalaman dalam tadbir urus negera dengan Gabon, meningkatkan kesalingpercayaan strategik, saling menyokong dalam isu berkaitan kepentingan teras dan kebimbangan utama masing-masing.

“China bersedia untuk mengukuhkan koordinasi strategi dengan Gabon, dan menggalakkan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang pembinaan prasarana, perhutanan, perikanan, ekonomi digital dan taman perindustrian,” ujar Xi.

Ali Bongo Ondimba berkata bahawa pihaknya berpegang teguh kepada dasar satu China dan menyokong konsep penting anjuran Presiden Xi seperti Inisiatif Jalur dan Laluan, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global, dan pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Beliau juga mengambil peluang itu menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada China kerana memberikan bantuan berharga kepada Gabon dalam masa yang panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here