BANGKOK, 22 April – Pengeluar kereta keempat terbesar China, Changan Automobile akan melabur 9.8 bilion baht (100 baht = RM12.91) di Thailand bagi menubuhkan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) pemanduan sebelah kanan pertamanya di luar China. 

Kilang dengan kapasiti pengeluaran awal sebanyak 100,000 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport, akan mengukuhkan Thailand untuk menjadi pangkalan pengeluaran EV global yang utama.

Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelaburan oleh Changan itu adalah untuk mewujudkan pangkalan pengeluaran bagi kenderaan elektrik bateri (BEV), kenderaan elektrik hibrid ‘plug-in’ (PHEV), kenderaan elektrik ‘range extended’ (RE-EV) dan bateri.

Setiausaha Agung BOI Narit Therdsteerasukdi berkata syarikat itu mahu memasarkan kenderaannya di Thailand serta negara-negara ASEAN, Australia, New Zealand, England dan Afrika Selatan untuk memenuhi permintaan EV yang semakin meningkat.

“Keputusan Changan untuk melabur di Thailand merupakan satu peristiwa penting dalam mempromosikan negara itu sebagai pangkalan pengeluaran EV utama dunia,” katanya.

“Ia juga menunjukkan keyakinan syarikat terhadap infrastruktur di Thailand, potensi pasaran, dasar proaktif untuk mempromosikan ekosistem EV yang lengkap, dan rantaian bekalan komprehensif yang bersedia bagi menyokong pengeluaran EV,” kata Narit.

Changan Automobile ialah salah satu peneraju dalam EV dan teknologi pemanduan pintar dengan ibu pejabat dan kilang pengeluaran utamanya terletak di Chongqing, China.

Syarikat itu menjual lebih dua juta kenderaan pada tahun lepas. Ia juga mempunyai pelaburan bersama dengan Ford dan Mazda untuk mengeluarkan kereta di China.

Kenyataan itu berkata BOI sebelum ini telah meluluskan sejumlah 26 projek pengeluaran kenderaan elektrik dengan nilai pelaburan berjumlah 86.8 bilion baht.

BOI berkata projek pengeluaran kenderaan elektrik itu adalah daripada 17 buah syarikat yang merangkumi BEV, PHEV dan EV hibrid.

Ia berkata “sekurang-kurangnya dua projek pelaburan tambahan” dijangka dimuktamadkan untuk promosi pelaburan pada separuh pertama 2023. Ini melibatkan rancangan Changan Automobile untuk mengemukakan permohonan menjelang Mei, dan rancangan GAC Aion untuk melabur lebih 6.4 bilion baht dalam pengeluaran EV di Thailand.

BOI berkata ia akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menarik pengeluar EV lain dari Asia, Eropah dan Amerika untuk melabur di Thailand.

“Kami juga giat mempromosikan pembinaan rangkaian pengecasan elektrik dan elemen lain yang diperlukan untuk mengukuhkan ekosistem EV dan industri berkaitan di Thailand,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here