KOTA KINABALU, 25 April – Timbalan Ketua Menteri Sabah I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mencadangkan penubuhan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Borneo (BCAA) bagi mengawal selia serta menjaga industri penerbangan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata sudah tiba masanya BCAA ditubuhkan berikutan terdapat laporan membabitkan pelbagai isu dan kelewatan dalam pengendalian hal ehwal penerbangan di Sabah oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Katanya ini termasuk dalam mengawal kos tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak pada musim perayaan Aidilfitri yang tinggi dan tidak munasabah.

“Perjalanan udara seharusnya tidak membebankan kerana ia adalah satu-satunya pilihan berdaya maju untuk kedua-dua negeri, dan daripada berhujah mengenai tambang penerbangan adalah lebih baik menteri pengangkutan serta kerajaan Persekutuan menyelesaikan isu berkenaan,” katanya.

Jeffrey, yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, berkata beliau percaya BCAA boleh menjaga kepentingan Sabah dan Sarawak serta rakyat Malaysia yang pergi mahupun balik ke negeri berkenaan.

Menurutnya BCAA akan memberi tumpuan kepada mengawal selia dan menjaga kepentingan industri penerbangan di kedua-dua negeri itu, selain berupaya mendorong industri tersebut mencapai tahap lebih baik menerusi pengetahuan keperluan serta keadaan tempatan.

“Ada dalam kalangan rakyat Sabah berbakat dan berkelayakan termasuk beberapa yang berpendidikan, terlatih serta diperakui di Amerika Syarikat oleh institusi penerbangan negara itu untuk dijadikan kakitangan BCAA,” katanya.

Dalam jangka panjang, Jeffrey berkata BCAA bukan hanya memberi manfaat kepada Sabah, tetapi juga industri penerbangan negara secara keseluruhan kerana perjalanan udara sangat penting terutama kepada sektor pelancongan antarabangsa, yang merupakan penyumbang utama ekonomi Sabah dan Sarawak. 

“Malah, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah lapangan terbang kedua terbesar dan kedua tersibuk di Malaysia selain menjadi hab serantau bagi banyak syarikat penerbangan.

“Justeru, sekarang adalah masa yang tepat untuk mewujudkan BCAA kerana Sarawak juga ingin menubuhkan syarikat penerbangan butik,” katanya.

Menurutnya Sabah juga sedang berbincang untuk menceburi sektor kargo udara dengan kumpulan logistik yang mantap serta menjadikan Sabah Air Aviation sebagai syarikat penerbangan serantau bagi  Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

“Saya akan membangkitkan isu ini pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Persekutuan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) akan datang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here