KUALA LUMPUR, 2 Mei – Bank Pembangunan Asia (ADB) pada Selasa mengumumkan Kemudahan Kewangan Inovatif untuk Iklim di Asia dan Pasifik (IF-CAP), sebuah program penting yang boleh meningkatkan sokongan secara ketara bagi rantau ini dalam perjuangan menangani perubahan iklim.

Pengumuman itu dibuat oleh Presiden ADB, Masatsugu Asakawa pada hari pembukaan mesyuarat tahunan ke-56 ADB di Incheon, Korea Selatan.

Asakawa berkata: “perubahan iklim adalah isu kritikal sepanjang hayat kita dan di Asia Pasifik kita berada di barisan hadapan dalam perjuangan ini.”.

ADB menjelaskan pembiayaan IF-CAP akan menyumbang kepada cita-cita bagi US$100 bilion daripada sumber bank itu sendiri untuk usaha perubahan iklim 2019-2030.

Bank ini juga memaklumkan pihaknya sedang berbincang dengan rakan kongsi yang berpotensi — seperti sumber dua hala dan pelbagai hala, sektor swasta dan dermawan, termasuk Perikatan Tenaga Global untuk Rakyat dan Planet — untuk memangkinkan pelaburan iklim.

Asakawa berkata peristiwa iklim sepanjang 12 bulan lepas hanya akan meningkat intensiti dan kekerapan, oleh yang demikian tindakan berani perlu dilaksanakan segera.

“IF-CAP ialah program yang menarik dan inovatif dan akan memberi impak sebenar. Program ini adalah satu lagi contoh cara ADB berfungsi sebagai bank iklim untuk Asia Pasifik,” katanya.

Rakan kongsi awal IF-CAP ialah Denmark, Jepun, Korea Selatan, Sweden, United Kingdom dan Amerika Syarikat serta rakan kongsi yang sedang berbincang dengan ADB mengenai penyediaan pelbagai geran untuk persediaan projek bersama-sama dengan jaminan untuk sebahagian daripada portfolio pinjaman berdaulat ADB, menurut bank itu.

ADB menjelaskan pendedahan risiko yang dikurangkan susulan jaminan itu akan membolehkan pihaknya menyediakan modal untuk mempercepat pinjaman baharu bagi projek iklim.

Berlandaskan model ‘US$1 masuk, US$5 keluar’, cita-cita awal jaminan US$3 bilion boleh menghasilkan pinjaman baharu sehingga berjumlah US$15 bilion untuk projek iklim yang sangat diperlukan di seluruh Asia Pasifik, tambahnya.

Bank ini menambah bahawa mekanisme jaminan berleveraj untuk kewangan iklim tidak pernah diterima pakai oleh bank pembangunan pelbagai hala sebelum ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here