SEREMBAN, 7 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan keseluruhan bagi pembangunan sosioekonomi di Negeri Sembilan berjumlah RM1.2 bilion.

Beliau berkata ia termasuk penambahan peruntukan bagi pembangunan negeri itu berjumlah hampir RM1 bilion.

Katanya projek baharu tahun ini di Negeri Sembilan termasuk membina jalan susur tol baharu dari Seremban ke Lingkaran Tengah Seremban, dengan kos projek RM600 juta.

“..membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson Dengan Sungai Pelek dengan kos RM160 juta.

“Pembinaan fasiliti Kementerian Pendidikan dengan kos RM280 juta termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas,” katanya.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga menyiapkan perbelanjaan berjumlah RM5.8 juta bagi baik pulih Klinik Kesihatan yang daif di Jelebu, Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau Seremban dan Tampin.

Selain itu katanya pembinaan masjid baharu turut mendapat perhatian kerajaan, antaranya pembinaan Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Kariah Hulu Beranang Seremban dan Masjid Kariah Talang Tengah Kuala Pilah, berjumlah RM318 juta.

“Jadi keseluruhan pembangunan sosioekonomi saya umumkan RM1 bilion tadi, penambahannya menjadikan keseluruhannya RM1.2 bilion,” katanya.

Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan juga telah menyelesaikan isu yang lama tertangguh mengenai Residensi PR1MA Seremban Sentral dan penyerahan  891 unit kepada pembeli akan dibuat mulai bulan Jun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here