BEIJING, 16 Mei – Kazakhstan dan China sepakat untuk terus mendorong hubungan bilateral yang membawa keuntungan kepada kedua-dua pihak dan China antara negara yang diberikan tumpuan utama dalam diplomasi Kazakhstan, kata Presiden Kassym-Jomart Tokayev.

Beliau berkata kedua-dua negara juga sepakat untuk meningkatkan lagi pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat.

Dalam wawancara bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini, Tokayev berkata kedua-dua negara ini juga akan terus memupuk persahabatan yang berkekalan berdasarkan hubungan perkongsian strategik komprehensif.

Tokayev turut memuji inisiatif yang dicadangkan China termasuk inisiatif membina komuniti berkongsi nasib sesama insan serta insiatif keselamatan, pembangunan dan tamadun sejagat.

Beliau menganggap dunia ini sepatutnya berada dalam suasana persahabatan dan kerjasama yang muhibah, tanpa diskriminasi, sekatan dan penindasan.

“Kazakhstan dan China sebagai negara Asia, perlu merancakkan pembangunan menurut tata hukum negara masing-masing. Jika segalanya dijadikan ala Barat…kami akan menemui jalan buntu.

“Selain itu, kami perlu mempelajari pengalaman yang baik daripada pelbagai negara namun urusan dalaman setiap negara tidak boleh dicampuri kuasa luar,” kata Tokayev.

Beliau turut berharap Sidang Kemuncak China-Asia Tengah yang bakal diadakan di bandar Xi’an pada Khamis nanti akan melakar kejayaan yang besar dan yakin China boleh memainkan peranan penting di rantau Asia Tengah.

“Saya percaya pemimpin negara Asia Tengah yang lain turut mempunyai pandangan yang sama. Negaranya akan memanfaatkan kerjasama dengan China dan akan terus memperhalusi kerjasama itu.

“Jumlah perdagangan dua hala sudah mencatat US$31 bilion (RM140 bilion). China adalah rakan yang mempunyai kehandalan yang tinggi.

“Kedua-dua negara kami bersedia meneroka kerjasama dalam bidang yang sebanyak mungkin. Kami amat mengalu-alukan usahawan China melabur ke Kazakhstan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here