MELAKA, 17 Mei – Golongan guru merupakan antara kumpulan penjawat awam yang akan diberi keutamaan untuk mendapat kenaikan elaun dan gaji, sekiranya pendapatan dan hasil negara bertambah baik kelak, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata ini memandangkan kerajaan sedar ketika ini selain guru, gaji dan elaun penjawat awam seperti polis dan tentera adalah tidak mencukupi.  

“Sementara itu kita akan usahakan supaya kedudukan ekonomi lebih mantap dan hasil bertambah dan saya telah umumkan keutamaan adalah untuk penjawat awam dan guru, termasuk polis dan tentera kerana kita sedar elaun dan gaji mereka tidak mencukupi, sepatutnya kita beri layanan lebih baik,” katanya.

Dalam Belanjawan 2023, Kementerian Pendidikan menerima tambahan peruntukan kira-kira RM2 bilion berbanding tahun sebelumnya, dengan tumpuan diberikan kepada isu sekolah daif, kemudahan asas dan infrastruktur sekolah. 

Terdahulu ketika berucap merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Anwar berkata kenaikan elaun guru menjadi fokus kerajaan namun ia akan diputuskan selepas pendapatan dan hasil negara bertambah di masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here