KUALA LUMPUR, 25 Mei – Teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dianggarkan berupaya menggantikan tugas manusia tidak mungkin boleh mengambil alih pekerjaan manusia secara keseluruhannya terutama dalam bidang kewartawanan.

Ketua Pegawai Eksekutif TV Alhijrah Namanzee Harris berkata manusia mempunyai keistimewaan untuk membuat penilaian serta pertimbangan yang bersifat keinsanan dan perkara itu tidak dimiliki oleh AI.

Justeru, katanya industri media dan wartawan sendiri perlu memahami teknologi AI secepat mungkin untuk membantu serta memudahkan mereka melaksanakan tugas masing-masing.

“Kebolehupayaan teknologi AI barangkali akan menyebabkan sesuatu perkara itu menjadi efektif dan keputusan untuk lebih efektif barangkali diprogramkan (oleh manusia). Jadi saya berpendirian, tidak mungkin mesin boleh mengambil tugas manusia seluruhnya.

“Pembelajaran mesin adalah diprogramkan oleh kita (manusia), jadi mereka terhad di dalam reaksi kepada situasi. Tetapi manusia diberikan akal fikiran untuk membuat penilaian mana yang baik mana yang buruk, jadi kita masih lagi superior,” katanya. 

Namanzee berkata demikian pada program Jendela Fikir edisi Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 terbitan Bernama Radio dengan topik Revolusi Penyiaran Malaysia, ASEAN dan Dunia, hari ini yang turut di sertai Pengarang Kumpulan Berita dan Hal Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd Kamaruddin Mape. 

Sementara itu, Kamaruddin berkata industri media konvensional perlu menyahut cabaran dalam mendepani ledakan media sosial ketika ini dengan menjadikannya sebagai penyuntik semangat untuk lebih maju ke hadapan seiring dengan teknologi semasa.

Katanya media arus perdana masih menjadi rujukan bagi mendapatkan bahan berita yang sahih meskipun terkesan dengan media sosial yang membolehkan maklumat diakses daripada pelbagai saluran.

“Kita anggap ini (cabaran media sosial) satu yang positif dan kita perlu lebih maju daripada media sosial dan masyarakat juga faham untuk membezakan integriti penyiaran (media konvensional) dan media sosial, jadi kelebihan masih dekat media arus perdana,” katanya.

Sambutan HAWANA 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema ‘Media Bebas, Tunjang Demokrasi’ untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

HAWANA 2023 akan diisi dengan pelbagai aktiviti seperti forum media melibatkan wartawan dari negara ASEAN, karnival mini, pertandingan mencari harta karun serta boling dan majlis kemuncak akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei. 

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional dan ia dipilih sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here