KOTA KINABALU, 26 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini membentangkan  Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan) 2023 berkaitan anti lompat parti pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini.

Hajiji berkata pindaan itu antara lain bertujuan memastikan kestabilan politik dan mengelakkan negeri ini daripada terus berdepan dengan krisis politik yang tidak berkesudahan.

“Pindaan ini juga akan memberikan mesej yang jelas kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) supaya berpegang teguh kepada prinsip parti yang diwakili untuk melindungi mandat rakyat yang telah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ADUN yang dipilih ketika proses pilihan raya.

Saya yakin rang undang-undang ini juga mampu menghentikan tindakan ADUN yang dipilih dan dilantik, daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atau alasan yang munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik di negeri ini untuk suatu jangka masa yang panjang,” katanya ketika membentangkan usul itu.

Beliau berkata parameter penggubalan rang undang-undang itu antaranya peruntukan larangan ADUN bertukar parti ini tidak akan terpakai secara retrospektif, manakala pelaksanaan enakmen akan bermula daripada tarikh kuat kuasa enakmen.

Selain itu katanya parameter lain turut melibatkan ADUN yang keluar daripada parti politik dalam satu parti gabungan dan menyertai parti politik yang lain dalam gabungan yang sama atau berbeza adalah terhenti menjadi ADUN.

“Mana-mana ADUN yang bertukar parti politik atau mana-mana ADUN yang meninggalkan parti politik untuk menjadi ADUN Bebas akan terhenti menjadi ADUN dan perlu mengosongkan kerusinya,” katanya.

Hajiji berkata keanggotaan seorang ADUN merujuk kepada keanggotaan dalam sebuah parti politik tidak kira sama ada parti politik itu merupakan anggota sesebuah parti gabungan atau tidak.

“Selain daripada itu, keanggotaan seorang ADUN juga merujuk kepada seorang ADUN yang bukan anggota mana-mana parti politik yang membentuk suatu gabungan parti politik, tetapi ialah anggota (terus) parti gabungan itu,” katanya.

Beliau berkata keanggotaan ADUN dalam parti gabungan tidak akan diambil kira kerana persoalan dasar utama yang menjadi asas dalam penggubalan rang undang-undang itu adalah keahlian seorang ADUN dalam suatu parti politik.

Katanya penggunaan simbol parti politik atau simbol parti gabungan tidak akan diambil kira dalam rang undang-undang berkaitan dengan larangan ADUN bertukar parti.

Hajiji berkata terdapat pengecualian terhadap larangan ADUN bertukar parti iaitu seseorang ADUN tidak terhenti sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya, selain pemecatan keanggotaan dalam parti politik tidak menyebabkan kekosongan kerusi ADUN itu.

“Pengecualian itu juga termasuk pelepasan keanggotaaan ADUN daripada parti politik apabila dipilih menjadi Speaker DUN tidak menyebabkan beliau terhenti menjadi ADUN. Perkara ini tidak akan menyebabkan Speaker kehilangan kerusinya di DUN,” katanya.

Usul pindaan itu sedang dibahaskan pada sidang DUN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here