TANGKAK, 31 Mei – Tourism Malaysia menyasarkan penglibatan pelancong asing dalam pakej ‘Durian Tourism 2023’, sebagai usaha mempromosikan musim durian di seluruh negara, tahun ini.

Pengarah Pembangunan Pakej Tourism Malaysia Shahrin Mokhtar berkata ia susulan kesinambungan kejayaan kempen itu tahun lepas, yang melibatkan pelancong domestik.

Beliau berkata pada edisi kali ini, pakej ‘Durian Tourism 2023’ akan diperluaskan ke beberapa buah negeri di Johor, Pahang, Selangor, Perak, Kedah dan Perlis, berbanding hanya di Pulau Pinang tahun lepas.

“Tourism Malaysia mengambil inisiatif memasarkan pakej Durian Tourism 2023 di luar negara seperti China, Hong Kong, Taiwan, Brunei dan Singapura, agar pelancong dari negara berkenaan berkunjung ke negara kita.

“Dalam masa yang sama kita juga dapat memperkenalkan betapa ‘premium’ durian kita berbanding durian di tempat lain, serta mempunyai kelebihan juga keistimewaannya yang tersendiri,” katanya.

Shahrin dalam pada itu turut menggalakkan pemain industri yang terlibat dalam pakej berkenaan untuk mempelbagaikan aktiviti antaranya mengutip durian, menikmati buah-buahan tempatan lain, menikmati pelbagai jenis minuman seperti yang berasaskan halia, membuat tempoyak, pengalaman tinggal di kampung serta menyediakan aktiviti sukan sampingan.

“Kempen pakej Durian Tourism tahun ini bermula pada 30 Mei sehingga 31 Ogos depan ini, mendapat kerjasama daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta 13 pengendali pelancongan tempatan.

“Sejumlah 18 pakej yang menarik disediakan bermula daripada RM50 seorang bagi bufet durian sehinggalah pakej tiga hari dua malam dengan harga bermula RM1,740 seorang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap menerusi  pakej yang ditawarkan ini akan dapat memperkenalkan lebih banyak destinasi 2nd-tier yang mampu memberi impak kepada kegiatan ekonomi setempat.

Selain itu katanya, ia juga akan mampu memberikan kesedaran terhadap perlindungan dan pemeliharaan alam sekitar selaras dengan teras 5 dalam Dasar Pelancongan Negara 2020-2030, iaitu memperkukuhkan komitment terhadap pelancongan lestari.

Maklumat lanjut berkenaan pakej yang ditawarkan boleh diperoleh dengan mengimbas kod QR yang disediakan ataupun menerusi laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here