JOHOR BAHRU, 5 Jun – Syarikat EcoCeres Renewable Fuels Sdn Bhd melabur sejumlah RM1 bilion bagi pembangunan fasiliti pengeluaran bahan api penerbangan mampan (SAF) di Tanjung Langsat, Pasir Gudang, yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir 2024.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata pelaburan itu yang merupakan fasiliti pertama seumpamanya bagi penghasilan bahan berkenaan di negara ini, juga dijangka menyediakan lebih 260 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat Johor.

Syarikat berpangkalan di China itu terbabit dalam usaha penghasilan SAF dan minyak sayuran terhidrogenasi (HVO).

“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha penghasilan minyak dan bahan api lestari melalui sumber tumbuhan atau biodiesel seperti HVO dan SAF yang akan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap agenda hijau dan kelestarian Johor.

“Adalah diharapkan supaya semua perancangan ini akan membuahkan hasil dan seterusnya merealisasikan hasrat Johor menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030,” katanya.

Onn Hafiz turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada syarikat tersebut kerana memilih Johor sebagai lokasi pelaburannya.

Beliau sebelum ini merasmikan majlis pecah tanah kemudahan EcoCeres Renewable Fuels di Tanjung Langsat dan turut berkongsi paparan foto mengenainya di platform media sosial itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here