KUALA LUMPUR, 11 Jun – Kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) khusus untuk wanita, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata program berkenaan adalah di atas saranan Ketua Wanita UMNO Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Kolej Universiti Agrosains Malaysia milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Saya telah uruskan pengambilan seramai 15,000 wanita  untuk masuk dalam TVET khas wanita ini, Alhamdulillah,” katanya dalam ucapan penggulungan dan penangguhan Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Bagi menjawab isu perumahan belia yang dibangkitkan Pemuda UMNO pada perhimpunan agung sayap itu Khamis lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata kerajaan telah meluluskan  rumah transit MADANI di bawah skim perumahan transit belia seluruh negara.

“Saya telah berbincang tentang isu perumahan anak muda, (dan) saya ingin menyebutkan kerajaan telah meluluskan rumah transit MADANI, bawah skim perumahan transit belia seluruh negara,” kata Presiden UMNO itu.

Mengenai isu kebankrapan peminjam pendidikan Mara, Ahmad Zahid berkata beliau telah mengarahkan Pengerusi Mara Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memperhalusi perkara berkenaan bagi meringankan beban peminjam dan membela nasib mereka.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata beliau turut akan mengkaji cadangan daripada perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan untuk mewujudkan semula Kementerian Wilayah Persekutuan. 

“Kalau inilah kehendak perwakilan, saya akan usahakan sebagai satu agenda,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here