KUALA LUMPUR, 12 Jan – Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kesihatan Parlimen untuk penelitan lanjut.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mencadangkan perkara itu berdasarkan Peraturan 54 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya ia dirujuk kepada jawatankuasa itu bagi membuat syor-syor selain meneliti dasar Generasi Penamat (GEG) serta peruntukan berkaitan.

Dr Zaliha menjelaskan rang undang-undang itu adalah yang baharu selepas mengambil kira syor-syor perbincangan JKPK Kesihatan pada tahun 2022 dan pertambahan pindaan baharu terhadap dasar GEG.

“Berdasarkan sesi libat urus dengan JKPK Kesihatan pada 6 Jun lepas bersama  Ahli Parlimen, badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), terdapat permintaan agar beberapa perkara dilihat dan diperhalusi lebih lanjut.

“Justeru, KKM mencadangkan ia dirujuk kepada JKPK Kesihatan untuk penelitian lanjut selain jawatankuasa ini yang berfungsi sebagi mekanisme semak dan imbang dengan ambil kira pandangan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata pembentangan bacaan kali pertama rang undang-undang itu serta cadangan untuk merujuk kepada JKPK Kesihatan, bukti komitmen kerajaan untuk memastikan peraturan baharu itu dapat diluluskan segera demi generasi baharu.

Sementara itu berdasarkan naskah biru yang diedarkan di Parlimen hari ini, rang undang-undang itu bertujuan mengawal penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau dan peranti merokok, demi kesihatan awam untuk melahirkan suatu generasi baharu bebas merokok.

Menurut Fasal 13 dan 14 rang undang-undang itu yang menyatakan larangan penjualan produk atau bahan merokok, pengganti tembakau atau peranti merokok kepada individu yang lahir mulai 1 Jan 2007 (generasi GEG), selain larangan individu GEG membeli produk rokok atau tembakau di bawah fasal sama.

Rang udang-undang itu turut memperuntukkan denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih setahun jika didapati menjual produk berkenaan kepada individu yang lahir mulai 1 Jan 2007.

Selain ini, denda tidak lebih RM500 atau perintah khidmat masyarakat turut dikenakan kepada mana-mana individu generasi GEG yang didapati membeli produk berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here