KUALA LUMPUR, 16 Jun – Sebarang perubahan struktur fi perkhidmatan kesihatan awam tidak akan dilaksanakan sewenang-wenangnya atau dalam tempoh segera.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata perubahan struktur fi itu akan diteliti secara rapi dan telus dengan analisis wajar dan mengambil kira pandangan serta libat urus semua pihak berkepentingan terlebih dahulu.

Menurutnya perkara penting bagi kerajaan ketika ini adalah memastikan rakyat terutamanya golongan tidak berkemampuan dan rentan tidak akan terkesan serta akses kepada perkhidmatan kesihatan dan akan terus dapat dinikmati. 

“Pada masa ini, kadar yang dikenakan di sektor awam sangat minimum seperti yang kita tahu kerana kerajaan memberikan banyak subsisdi dan fi yang dikenakan adalah sama kepada semua pesakit.

Malah KKM (Kementerian Kesihatan) juga tidak mempunyai mekanisme untuk mengumpul lebihan fi walaupun ada pesakit yang sanggup untuk membayar lebih kerana mereka hargai perkhidmatan kesihatan komprehensif yang diterima,” katanya.

Kertas Putih Kesihatan itu kemudiannya diluluskan Dewan Rakyat, selepas hampir lebih tiga jam dibahas tanpa henti oleh 30 Ahli Parlimen mewakili pelbagai parti politik daripada pihak kerajaan dan blok pembangkang.

Pada sesi perbahasan, rata-rata Ahli Parlimen membangkitkan isu cadangan semakan semula struktur fi semasa di fasiliti penjagaan kesihatan awam yang dikhuatiri menjejaskan rakyat khususnya golongan yang tidak berkemampuan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) dalam perbahasannya meminta supaya cadangan untuk menaikkan kadar bayaran rawatan di kemudahan kesihatan awam ditangguhkan dan diteliti semula.

Katanya bayaran perkhidmatan itu akan menambahkan beban rakyat yang pada masa ini terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barangan keperluan harian, kadar inflasi dan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

Senada dengannya, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berpendapat kadar bayaran perkhidmatan hospital kerajaan yang selama ini tidak pernah dinaikkan, wajar dikekalkan bagi membantu rakyat.

Selain itu, Dr Zaliha berkata selaras dengan tonggak ketiga Kertas Putih Kesihatan iaitu memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan saksama, kerajaan akan berusaha mengembleng pelbagai sumber pembiayaan kesihatan agar ia lebih efisien dan berkesan.

Terdahulu, Dr Zaliha ketika membentangkan dokumen itu berkata ia menggariskan status semasa, jurang dan kekangan yang dihadapi sistem kesihatan negara dan penyelesaian bersifat struktural dan sistemik merangkumi reformasi penyampaian perkhidmatan, pembiayaan dan tadbir urus secara berfasa dalam tempoh 15 tahun.

Kertas Putih Kesihatan turut memperincikan langkah reformasi sistem kesihatan yang teliti merangkumi fasa jangka pendek iaitu tahun pertama bermula pada 2024, jangka sederhana mulai 2029 dan jangka panjang dari 2034 hingga 2039.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here