BEIJING, 17 Jun – Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan dengan Bill Gates di Beijing pada Jumaat sambil berkata pengasas bersama Microsoft itu adalah sahabat Amerika pertama yang melawat Beijing tahun ini.

Presiden memberitahu Gates bahawa rakyat adalah asas dan harapan bagi menjalin hubungan mesra China-AS, kata jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying dalam ciapan di Twitter.

“Saya sering mengatakan bahawa asas hubungan China-AS terletak pada rakyat. Kami sentiasa menaruh harapan kepada rakyat Amerika dan berharap persahabatan antara kedua-dua rakyat akan berterusan,” katanya.

Pertemuan itu diadakan ketika Yayasan Bill & Melinda Gates — menandatangani perjanjian dengan kerajaan tempatan untuk melabur US$50 juta setiap satu ke dalam Institut Penemuan Ubatan Kesihatan Global yayasan itu bagi membangunkan ubat-ubatan merawat batuk kering, malaria dan penyakit berjangkit yang lain.

Xi berkata China bersedia bekerjasama dengan semua negara dalam membangunkan inovasi saintifik dan teknologi dan berusaha mengambil bahagian secara aktif serta menggalakkan cabaran global seperti perubahan iklim, pencegahan wabak dan kesihatan awam.

Gates berkata berdasarkan pencapaian dalam mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan perkhidmatan kesihatan di China, beliau berharap untuk melihat kemajuan perkongsian itu pada masa hadapan.

China boleh memainkan peranan yang lebih besar dalam menangani cabaran semasa, terutama yang dihadapi negara Afrika, kata Gates.

Microsoft telah mengendalikan kemudahan penyelidikan di China selama 25 tahun dan Gates adalah antara ahli perniagaan Barat yang paling disegani, tetapi ia menutup perkhidmatan LinkedInnya pada 2021, menggantikannya dengan versi yang tidak mempunyai ciri media sosial sebelum menarik diri sepenuhnya dari China bulan lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here