JOHOR BAHRU, 18 Jun – Rundingan agihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang hampir selesai dan hanya sembilan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dimuktamad.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi telahpun selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH.

Beliau berkata perkembangan terkini itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak kononnya Kerajaan Perpaduan tidak stabil dan sebagainya.

“Kini kita masuk di peringkat akhir iaitu untuk dimuktamad di peringkat presiden-presiden. Daripada 245 kerusi DUN yang akan dipertanding, kita hanya ada isu sembilan (kerusi DUN) yang masih bertindih.

“Maknanya, kalau kita tengok dari segi peratusan, 99.7 peratus soal kerusi ini telah selesai dan boleh dikatakan (rundingan) berjalan dalam (suasana) cukup harmoni sekali,” katanya.

Asyraf Wajdi, yang juga Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, berkata justeru baki sembilan kerusi DUN yang masih bertindih akan dimuktamad oleh kepimpinan tertinggi parti terbabit.

“(Berhubung) kerusi-kerusi yang bertindih ini, kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi iaitu presiden-presiden parti untuk diperinci dan secara umumnya, itulah (perkembangan) sekarang,” katanya.

Ketika ditanya lokasi kerusi terbabit, beliau berkata ia melibatkan kesemua enam negeri yang bakal  mengadakan PRN.

Katanya rundingan di peringkat presiden dijangka dimuktamad sebelum proses penamaan calon.

Asyraf Wajdi berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini rundingan kerusi BN dan PH menjelang PRN di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Kelantan serta Terengganu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here