KUALA LUMPUR, 25 Jun – Kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua menggelar Barisan Nasional (BN) yang kini bersama dengan Pakatan Harapan (PH) sebagai ‘pakatan korup’ dibuat atas kapasiti individu dan tidak mewakili kepimpinan parti, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Beliau berkata ucapan berunsur serangan yang dibuat terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan itu tidak seharusnya dikeluarkan, dan menurutnya Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. 

“Kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

“Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini,” katanya.

Pua dilaporkan membuat kenyataan berkenaan ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam. 

Loke turut mengingatkan agar semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika ini. 

“Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP,” kata beliau yang juga merupakan Menteri Pengangkutan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here